Friday, 18 April 2014

KEPERITAN SUATU KEMANISAN AKHIRNYA

Alhamdulillah saya perhatikan komen-komen sahabat, ramai yang semakin mahu berubah. Saya yakin zaman dahulu atau sekarang, Allah sentiasa pemurah memberikan hidayahNya. Namun yang membezakan zaman dahulu dan sekarang ialah zaman dahulu orang ‘tidak ada kekuatan’ untuk menerima hidayah.

Ya hidayah itu ada di mana-mana. Anda tengok pokok, lepas itu pokok itu bergoyang. Bukankah satu keajaiban buat orang yang berfikir, bahawa ada kuasa yang mampu menggerakkan sesuatu yang statik? Ya kuasa angin. Dari mana datang angin?

Hidayah adalah untuk orang yang berfikir? Setuju?

Bila sampai suatu ketika dalam kehidupan kita ini, kita akan bertemu dengan dilema. Tersepit antara pilihan-pilihan. Kita akan menimbangkan-nimbangkan baik buruk setiap pilihan. Kita mengharapkan kita buat pilihan yang tepat.

Tapi, berubah itu perit la..

Memanglah perit nak buang apa yang dah jadi kebiasaan kita. Pengalaman saya sendiri baru-baru ini, kalau kita cabut satu gigi tanpa cucuk ubat bius, mau sakit sampai demam-demam. Sebab? Gigi tu dah lama hidup dengan kita, dah jadi sebahagian daripada diri kita.

Usahlah terlampau memaksa diri. Bukan semua gigi yang perlu dibuang. Ada yang masih boleh diselamatkan dengan menampal, membuat crown, membuat rawatan akar dan sebagainya. Yang sudah mereput itu kena buang. Yang masih bagus itu, jaga dia sampai sihat, cantik dan berkilat-kilat.

Usahlah gopoh. Kita ini manusia biasa. Kita belajar daripada kesilapan. Kesempurnaan itu bukanlah destinasi tapi perjalanan. Kalaulah kesempurnaan itu destinasi, kita tak akan sampai kepadanya. Tapi kalau ia adalah perjalanan, kita akan sampai kepada sejauh mana kita berjalan menujunya.


Banyakkan doa dan amal. Teruskan berubah dan berubah ke arah kebaikan, jangan berhenti hanya kepada satu kebaikan sahaja


dari fb Iron Lady

Tuesday, 25 February 2014

Masalah Ego Dalam Diri



PETUA BERDEPAN MASALAH EGO…

Sikap ego yang keterlaluan ada kalanya mengundang pelbagai musibah sama ada dalam perhubungan mahupun pekerjaan.
Apa kata kita lihat dengan teliti empat petua terbaik untuk berdepan dengan permasalahan ini.

1) JANGAN MENGHAKIMI- Jauhi sifat yang suka menghakimi dan menyalahkan pasangan. Individu yang berego tinggi tidak suka dipersalahkan kerana menganggap dirinya tidak penting. Oleh itu cuba untuk berfikir dengan lebih mendalam dan mengalah kepada pasan¬gan bagi mengelakkan situasi bertambah buruk.

2) CARA BERKOMUNIKASI - Untuk berhadapan dengan pasangan ego, anda seharusnya mendekati mereka dengan menggunakan bahasa dan nada yang lembut agar tidak menyinggang perasaan pasangan sewaktu berinteraksi. Dengan ini, mereka akan mudah untuk berlembut hati atas kelembutan bahasa yang digunakan oleh anda.

3) JADI PENDENGAR YANG BAIK - Setiap manusia dilahirkan dengan naluri kepimpinan. Mereka mahukan seseorang yang menurut perintah namun hakikatnya, mereka juga manusla biasa yang berbuat kesilapan. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan apa yang mereka nyatakan, cuba memberi bantahan dengan cara lembut. Sekiranya anda memberi bantahan dengan cara yang keras, sudah semestinya pasangan yang bersifat ego itu akan lebih berkeras dengan anda untuk menjaga keegoan mereka.

4) FAHAMI PASANGAN - Pasangan yang mempunyai sifat ego ini sebenarnya hidup dalam dunia mereka yang tersendiri. Mereka juga sangat bercita-cita tinggi dan melihat hanya diri mereka saja yang betul dalam apa juga situasi. Oleh itu, cuba fahami pasangan dengan melakukan sedikit kajian meIalui sesi 'slow talk' man fahami karakter daripada saudara terdekat mereka.

Usah jadikan tahap ego anda sebagai suatu sikap yang kekal dalam diri kerana ia nyata dapat dipulihkan melalui pendekatan yang sesuai seperti diatas.

Sunday, 9 February 2014

Mutiara Kata Untukmu



MUTIARA KATA UNTUK MU

1) Hidup jauh lebih indah, aman dan menyenangkan bila saling menyayangi, namun kasih sayang tak akan datang dengan diminta, kasih sayang akan datang bila kita yang memberi.

2) Sabar terbahagi kepada dua iaitu sabar dalam mengawal daripada apa yang kamu tidak kehendaki dan sabar dalam mengejar apa yang dikehendaki. Jangan cepat mengalah!

3) Usah dituruti reaksi emosi, lantaran implikasi tak serasi dengan apa yang diimaginasikan.

4) Kalau manusia ini mengejar kasih Allah, tidak akan timbul perselisihan dan perbalahan. Jika manusia sesama manusia, mengejar kasih manusia, hasilnya mereka sering bersaing dan berbalahan.

5) Perhatikanlah orang yang memberikan nasihat kepadamu. Seandainya dia memulai dari sisi yang merugikan ramai orang, janganlah menerima nasihatnya dan berhati-hatilah. Akan tetapi, jika dia memulainya dari sisi keadilan dan kebaikan ramai orang, terimalah nasihatnya itu.

6) Konflik biasanya terjadi kerana saya benar dan kamu salah, berilah kesempatan hati mengatakan kita benar dan diapun boleh jadi benar, Insya Allah akan mudah cari jalan penyelesaiannya.









Monday, 27 January 2014

MENGAPA SUKA SANGAT SALAHKAN ORANG LAIN NI..?



MENGAPA SUKA SANGAT SALAHKAN ORANG LAIN NI..?

Seharian semalam saya bersama warga usahawan di Keramat Mall. Tempat yang gah dan cantik, lokasi strategik, sewaan yang ‘amat murah’ dari DBKL tapi masih kosong! MENGAPA?

Antara keluhan peniaga disana, ialah menunding jari kepada pihak lain. Inilah sifat yang ada di dalam diri manusia adalah suka menyalahkan orang lain atas pilihan, tindakan dan kekurangan diri sendiri.

Kita, manusia sememangnya suka menyalahkan orang lain. Kita menyalahkan semua orang dan semua perkara kecuali diri sendiri. Kita menyalahkan ibu bapa, anak anak, makanan, kereta, lalu lintas, majikan, kerajaan, pengurusan dan termasuklah cuaca.

Jurujual yang gagal dalam sesuatu urusan menyalahkan pelanggan yang keras kepala. Pelajar yang gagal dalam peperiksaan menyalahkan guru-guru dan subjek yang mereka ambil. Pekerja yang lambat sampai ke pejabat menyalahkan hari hujan atau kesibukan lalu lintas.

Terdapat dua jenis tindakan dan dua jenis manusia. Dua jenis tindakan tersebut adalah alasan dan pencapaian. Manusia pula terdiri yang Internalists dan Externalists. Internalists adalah mereka yang berorientasikan pencapaian; bertanggungjawab atas tindakan, kejayaan dan kegagalan mereka. Externalists adalah mereka yang tidak bertanggungjawab atas tindakan mereka dalam hidup, dan bersembunyi di balik alasan.

Merekalah orang yang menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka dan menganggap diri mereka adalah mangsa.

Apa yang kita perolehi sekarang adalah hasil dari pilihan yang telah dilakukan atau gagal dilakukan pada masa lalu. Kehidupan sekarang mencerminkan cara anda memberi respon dan bertindakbalas atas apa yang berlaku. Ia bukan hasil dari tindakan orang lain.

Alasan adalah satu pembohongan yang kita beritahu kepada diri sendiri dan mahukan orang lain mempercayainya. Sekiranya lewat sampai pejabat, kita boleh keluar lebih awal dari rumah supaya tidak lambat sampai ke pejabat. Anda tidak perlu menyalahkan keadaan cuaca atau kesibukan lalu lintas.

Kita semua mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan kita bertanggungjawab membuat pilihan yang tepat. Kita mempunyai kemampuan untuk memburukkan lagi keadaan. Kita juga mempunyai kemampuan untuk melakukan yang lebih baik.

Pilihan ditangan anda. Jika semua diantara kita sibuk membetulkan dan memperbaiki diri sendiri nescaya masyarakat kita lebih makmur!

Thursday, 23 January 2014

RENDAH DIRI DENGAN BANGGA DIRI

PENYAKIT RENDAH DIRI DAN BANGGA DIRI



Saya ambil artikel ini dif fb Iron Lady sebagai motivasi.

Baik inferiority complex - atau superiority complex - kedua-duanya bukanlah hal yang baik. Orang yang inferiority complex - ialah orang yang merasa rendah diri, pesimis dan selalunya negatif. Ia adalah perasaan. Inferiority complex ini ada di dalam jiwa kita. Ia adalah sikap. Kita menganggap kita sentiasa menjadi orang yang kalah.

Orang kita yang melihat orang Inggeris - akan cepat teruja. Cepat merasa orang luar itu hebat. Ia perasaan dalam diri. Ini adalah inferiority complex. Kita berasa kita kerdil sangat. Sedangkan hakikatnya - kita mungkin lebih baik.


Sekilas: Macam betul je kata Iron Lady

Inilah perasaan rendah diri. Ia berbeza dengan perlunya hidup merendah diri. Orang yang belajar tinggi, atau ada pangkat besar, tetapi hidup merendah diri - itu bukan inferiority complex.


Sekilas: Oh ye

Banyak penjenayah atau pelaku juvenil dikatakan mempunyai inferiority complex. Apa kaitannya? Sebabnya dengan melakukan hal yang hebat itu - walaupun buruk, mereka merasa ia telah menggantikan perasaan mereka yang dilihat rendah itu. Mereka yang membunuh atau mencuri itu adakalanya merasakan perlakuan itu sangat hebat. Mereka merasa mereka sangat kuat. Sedangkan - itu hanyalah khayalan sahaja!

Superiority complex ialah hal yang tidak nyata. Misalnya, apabila kita bertemu dengan seseorang - yang menceritakan hal kehebatannya - yang pelik - yang aneh, itu ialah manusia yang superiority complex.

Pernah jumpa orang ini? Ayah Pin atau Rasul Melayu mungkin termasuk dalam kategori ini. Mereka merasa mereka orang yang hebat. Boleh menyembuh segala penyakit. Mengaku mencipta agama lain. Mengaku sebagai nabi. Ini adalah simptom yang kita pernah lihat.





Sekilas: Boleh masuk kes Sultan Melaka

Pengikutnya pula - mungkin merasa rendah diri. Mereka orang yang mempunyai inferiority complex. Mereka juga ingin dilihat hebat. Jadi mereka berusaha menggantikan perasaan rendah diri itu. Jadi, mereka mula terpedaya dengan ‘tokoh’ superiority complex ini.

Apa tindakan kita untuk betulkan ‘penyakit complex’ ini jika ianya telah ‘berjangkit’ dengan diri kita?